Kempen kitar semula semakin dapat sambutan
Affandi Hamzah (kiri) memakaikan lencana integriti kepada anggota penguat kuasa PPSPPA Kelantan di Kota Bharu, baru-baru ini.
KOTA BHARU 12 Mei - Kempen kitar semula yang dianjurkan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) Kelantan semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat negeri ini .
Pengerusinya, Datuk Affandi Hamzah berkata, peningkatan kesedaran mengenai pentingnya kitar semula ini dapat dilihat melalui sambutan terhadap program yang dianjurkan oleh pihaknya.
"Jika sebelum ini program yang dianjurkan oleh pihak kami banyak tertumpu kepada peringkat sekolah, namun kita telah meluaskan pelaksanaannya kepada golongan dewasa melalui kempen-kempen kesedaran.
"Kita akan terus memperkasakan program ini melalui pelbagai pendekatan dalam usaha menarik lebih ramai rakyat di negeri ini untuk turut sama terlibat dalam menjayakan program kitar semula," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Penganugerahan Lencana Integriti kepada penguat kuasa PPSPPA negeri di sini kelmarin.
Pada majlis tersebut seramai 33 anggota penguat kuasa PPSPPA dari seluruh negeri menerima lencana tersebut.
Mengulas mengenai majlis tersebut, Affandi memberitahu, penganugerahan lencana tersebut akan memupuk semangat integriti dalam diri setiap anggota ketika menjalankan tugas tanpa mengira latar belakang.
"Sebagai penjawat awam, mereka perlu menjadikan integriti sebagai amalan kerana ia akan memberikan satu imej yang baik bukan sahaja kepada anggota, malah kepada jabatan.
"Secara tidak langsung akan meningkatkan lagi tahap kecekapan anggota dalam melaksanakan setiap amanah yang telah diberikan," ujarnya.
No comments:
Post a Comment